MALAM AL-QADR
10 akhir Ramadhan adalah
merupakan di antara malam-malam yang penuh dengan keberkatan dan kelebihan yang
tertentu. Malam-malam ini adalah merupakan malam yang ditunggu-tunggu oleh
seluruh orang mukmin. Bulan Ramadhan, Al Quran dan malam Lailatulqadar
mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang
diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. di antaranya
firman Allah s.w.t.
Maksudnya: “Sesungguhnya
kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan
engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000
bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada
Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar”.
SEBAB TURUNNYA SURAH
AL-QADR
Lailatulqadar mempunyai
kelebihan yang begitu besar. Ianya lebih baik dari 1000 bulan yang lain. Sebab
diturunkan ayat tersebut diriwayatkan daripada Mujahid dikatakan sebab turun
ayat tersebut ialah Nabi s.a.w. telah menyebut tentang seorang lelaki daripada
Bani Israel yang telah menggunakan alat senjatanya untuk berperang pada jalan
Allah maka orang Islam pun kagum di atas perbuatan itu lalu Allah menurunkan
ayat di atas.
Riwayat yang lain pula dari
Ali bin Aurah pada satu hari Rasulullah telah menyebut 4 orang Bani Israel yang
telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikitpun tidak derhaka
kepada Allah lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang
memberitahu kepada Rasulullah bahawa Allah w.s.t. menurunkan yang lebih baik
dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah Al Qadar dan Jibril berkata kepada
Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan
Rasulullah s.a.w. dan para sahabat amat gembira.
Daripada ayat di atas
dapatlah kita ketahui bagaimana besar kelebihan orang yang beribadah pada malam
lailatulqadar. Ianya satu malam menyamai beramal 1000 bulan.
Dalam hadis Rasulullah
s.a.w. menyebut
Maksudnya: “Rasulullah
bersungguh-sungguh beribadah pada 10 akhir bulan Ramadhan lebih daripada yang
lainnya”
Rasulullah s.a.w. melakukan
ibadah pada malam itu bukan hanya setakat baginda sahaja tetapi baginda
menyuruh ahli keluarga bangun bersama beribadah. Kata Aisyah r.a.
Maksudnya: “Nabi s.a.w.
apabila masuk 10 akhir bulan Ramadhan baginda mengikat kainnya. Menghidupkan
malam dengan beribadah dan membangunkan keluarganya untuk sama-sama beribadah.
Mengikat kainnya bermaksud bersungguh-sungguh mengerjakan ibadah.”
KELEBIHAN MENGHAYATI MALAM
LAILATULQADAR
Kerana mulianya
Lailatulqadar, Rasulullah s.a.w. menganjurkan supaya umatnya bersedia menyambut
dan menghayati malam yang berkat itu dengan pelbagai jenis amalan dan ibadah
yang diterangkan di antaranya hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah
r.a.
Maksudnya: “Barangsiapa
menghayati malam Lailatulqadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis
ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya
ia diampunkan dosanya yang terdahulu.
Rasulullah s.a.w. sendiri
menjadi contoh yang baik yang menghayati malam lailatulqadar terutama 10 malam
yang akhir daripada bulan Ramadhan dengan beriktikaf di Masjid mengerjakan
pelbagai amal ibadah untuk menyambut malam Lailatulqadar yang mulia.
Ini diterangkan di dalam
satu hadis diriwayatkan daripada Aishah r.a. Katanya:
Maksudnya: “Biasanya
Rasulullah s.a.w. berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakan amal ibadah
pada 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan berbanding dengan masa yang
lain.”
Dalam hadis yang lain
Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda bersedialah dengan
bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatulqadar pada malam-malam yang
ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.
Malam-malam yang ganjil
yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam
pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam
Lailatulqadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah s.a.w. pada malam 21
Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan.
Terdapat juga hadis yang
mengatakan bahawa baginda Rasulullah s.a.w. menjawab pertanyaan seorang sahabat
yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan
menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27
Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan
bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang
lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan.
Yang pastinya bahawa masa
berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah s.w.t. supaya
setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal
ibadat. Kerana dengan cara itulah sahaja mudah-mudahan akan dapat menemuinya
dan dapat pula rahmat yang diharapkan yang akan menjadikan seseorang itu hidup
bahagia di dunia mahupun di akhirat.
Comments
Post a Comment