KEMERDEKAAN TANAH MELAYU
Pada 31 Ogos 1957 bertempat di stadium yang baru dirasmikan iaitu
Stadium Merdeka, Kuala Lumpur telah menyaksikan peristiwa bersejarah bagi Tanah
Melayu iaitu secara rasminya penyerahan pemerintahan Persekutuan Tanah Melayu
daripada pemerintahan British kepada warganegara Tanah Melayu.
Hujan lebat yang turun sejak 3
pagi menyukarkan pergerakan dan sehingga 6.30 pagi, stadium masih belum
dipenuhi oleh pengunjung. Ini menyebabkan upacara telah ditangguhkan selama
sejam dan pengumuman majlis bermula kedengaran bukan pada pukul tujuh seperti
yang dijangka tetapi pada pukul lapan. 2,000 orang tentera Persekutuan
menumpang di sekolah-sekolah berhampiran stadium sebelum itu berarak dalam
hujan dan tujuh batalion yang membuat perarakan ketika itu iaitu Rejimen
Persekutuan, Skuadron Isyarat, Skuadron Jurutera, Tentera Laut Diraja Tanah
Melayu, Tentera Laut Simpanan Diraja Tanah Melayu dan Askar Sivil Persekutuan.
Pada pukul 8, para media telah
diberi pengumuman untuk bersedia dan semua peralatan kamera dan media ketika
itu dipasang dengan perlindungan plastik atau pelapik kalis air lain di sekitar
padang yang lembap. Kebetulan, hujan reda yang memungkin segala persiapan
sebelum upacara bermula dapat dijalankan dengan mudah. Pengunjung bertambah
ramai untuk menyaksikan upacara bersejarah ini.
Antara kumpulan pengunjung yang
tiba di stadium adalah Kadet, Pengakap Laut (dengan pakaian putih, topi putih
dan seluar pendek berwarna biru), Pandu Puteri (berpakaian biru muda), Pengakap
(dengan kain skaf, berwarna merah dan emas, merah dan hitam, merah dan biru,
merah dan putih), Pasukan Briged St. John's Ambulance dan Palang Merah British
turut mengambil tempat di sisi stadium manakala kumpulan pancaragam dan
pengawal kehormat berada di susur terowong masuk.
Kemudian, tetamu-temamu
kehormat mula tiba Lord Chancellor dari England berpakaian yang sama seperti
ketika dia menjadi hakim Mahkamah Tinggi Persekutuan. Pemangku Yang di-Pertuan
Besar Negeri Sembilan merupakan Raja Melayu yang pertama berangkat tiba diikuti
Tengku Mahkota Johor (dalam pakaian uniform tentera baginda) yang menggantikan
Sultan Johor, Sultan Perak (berpakaian berwarna krim), Sultan Terengganu
(berpakaian emas bersama merah gelap dan hijau), Sultan Kelantan (berpakaian
emas pucat), Sultan Kedah (berpakaian biru dan perak) Raja Perlis (berpakaian
emas), Sultan Pahang (berwarna merah senduduk dan dan perak) serta yang akhir
sekali, baginda Yang di-Pertuan Agong yang berpakaian perang serta memakai
keris yang baru. Setiap daripada baginda diiringi bunyi nafiri dan berdiri di
bawah payung kuning keemasan sambil Yang di-Pertuan Agong berjalan ke tempat
duduk baginda. Pengunjung stadium masih lagi berdiri apabila Duke of Gloucester
masuk sambil diiringi Sir Donald MacGillivray. Dengan ketibaan semua tetamu
diraja, upacara Pengisytiharan dimulakan.
Adikung Duke membawa watikah
perlembagaan yang menyatakan pengunduran daripada perlindungan British terhadap
negeri-negeri Melayu dan kedaulatan terhadap Pulau Pinang dan Melaka. Raja-raja
Melayu mula melangkah ke pentas dan Duke mengambil tempat di depan pentas
sambil menerima hormat diraja sambil diiringi oleh Sir Donald MacGillivray.
Ketika itu merupakan kali terakhir satu-satu upacara negara menyanyikan lagi
kebangsaan British di Persekutuan Tanah Melayu. Kemudian, baginda Duke
membacakan perutusan daripada baginda Ratu Elizabeth II akan pernyataan baginda
yang mengalukan kemasukan Persekutuan ke dalam Komanwel dan mendoakan kejayaan
negara ini.
Kemudian, Perdana Menteri Tunku
Abdul Rahman bangun dari tempat duduknya dan menerima watikah perlembagaan
sebagai lambang penyerahan kuasa pemerintahan sepenuhnya kepada Persekutuan
Tanah Melayu. Duke mengambil tempat duduk dan Tunku mulakan ucapannya dalam
bahasa Inggeris. Setelah Tunku mengucapkan penghargaan kepada Great Britain
atas pertolongan untuk mencapai kemerdekaan, beliau mula membaca teks
"Pemasyhuran Kemerdekaan".
Pengisytiharan itu disambut
dengan laungan "MERDEKA" sebanyak 7 kali sebagai Perdana Menteri
Persekutuan Tanah Melayu yang pertama di hadapan 20 ribu rakyat Persekutuan
Tanah Melayu dan Raja-rajanya serta perwakilan dari 30 negara-negara Komanwel
dan negara-negara asing lainnya. Bendera Persekutuan Tanah Melayu telah
dinaikkan dengan iringan Lagu Kebangsaan Negaraku yang buat pertama kalinya
diperdengarkan secara rasmi dalam sebuah negara baru. Diikuti pula selepas itu
dengan seruan azan oleh tokoh agama Islam iaitu Datuk Hassan Azhari sebagai
simbolik lahirnya sebuah negara baru dimana Islam, merupakan agama rasmi
Persekutuan Tanah Melayu dan tembakan meriam seratus satu das.
Dengan bunyi nobat nafiri, Yang
di-Pertuan Agong diiringi oleh Duke of Gloucester, berangkat pergi dari pentas
diikuti pemerintah Melayu yang lain, Perdana Menteri dan Sir Donald
MacGillivray. Kemudian, Doa Selamat dibacakan bagi memohon keberkatan dan
keredhaan Allah terhadap sebuah negara yang baru dilahirkan
Dengan pengisytiharan itu, maka
berakhirlah penjajahan Inggeris dan kuasa Baginda Ratu Elizabeth II ke atas
Persekutuan Tanah Melayu termasuk Pulau Pinang dan Melaka iaitu sejak lebih 170
tahun. Pada hari itu juga Pesuruhjaya Tinggi British yang terakhir di
Persekutuan Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray dan isterinya telah
meninggalkan negara ini dan pulang ke England.
Comments
Post a Comment