KASIH IBU DAN AYAH
"Kasih Ibu Membawa Ke Syurga, Kasih Ayah Sepanjang Masa"
Kewujudan kita hari ini
sesungguhnya satu nikmat yang amat besar dari Allah swt. Melalui dua orang
insan mulia, satu ketika dahulu kitalah yang menjadi ‘sang juara’ mengatasi
ribuan yang lain dalam sebuah perjuangan demi sebuah kehidupan.
Tanpa mereka, siapalah kita..?
Tanpa mereka,akan lahirkah kita melihat dunia hari ini..?
AYAH dan IBU... BAPA dan
EMAK...ABI dan UMMI..
Ya,merekalah dua orang insan
yang mulia itu. Bertuahnya kita kerana dikurniakan mereka yang mana sejak lahir
hinggalah ke saat ini, merekalah insan yang benar-benar menyayangi kita tanpa
memperoleh sebarang balasan pun. Tanpa mengharapkan sebarang ganjaran, hadiah,
penghargaan dan sebagainya mereka dengan ikhlasnya menjaga dan membesarkan kita
dengan penuh susah dan kepayahan.Dan bukan cuma seorang! Tetapi berlima,berenam
malah mungkin berbelas adik-beradik yang lain.
Lihatlah garis-garis halus dan
kedutan di wajah ayah dan ibu..Satu ketika dahulu,wajah yang tampan dan cantik
itu kini berubah dek kerana usia yang kian dimamah waktu. Segala kekerutan di
wajah mereka, segala kebimbangan mereka, tidak lain hanyalah kerana risau
memikirkan hidup anak-anaknya.
Lihatlah pula rambut mereka
yang dahulunya hitam kini berubah putih beruban. Ayah dan ibu pernah tidak
mempedulikan diri mereka sendiri lantaran memikirkan untuk menyediakan yang
terbaik untuk anak-anak. Bagi mereka, biar susah. Biar payah. Yang penting,
anak-anak membesar bahagia tanpa merasa ada kukurangan sedikit pun berbanding
insan lain.
Tanpa memikirkan kelelahan yang
terpaksa dihadapi, ayah gigih dan tabah keluar berkerja saban hari untuk
mencari rezeki buat keluarganya. Tidak cukup sekadar itu, ibu juga turut
membantu ayah untuk meringankan beban yang ditanggungnya sendiri. Ya
Allah..betapa besarnya pengorbanan insan ini. Sejak hari pertama kita lahir,
hidup mereka seolah-olah sudah pasti akan dikorbankan demi kesejahteraan insan
yang bernama anak-anak. Dengan belaian kasih sayang, sentuhan manja,
keprihatinan, kerisauan mereka..semua itu pernah membuatkan kita merasa sangat
bahagia kerna disayangi dan sentiasa berasa selamat lantaran ada yang menjaga
dan melindungi kita.
Namun, tatkala usia si anak
semakin menganjak dewasa, kita mula terlupa akan mereka.
Kita terlupa betapa satu ketika
dahulu, mereka sangat menyayangi kita lebih dari nyawa mereka sendiri. Hari
ini.. kasih sayang,keprihatinan dan kerisauan mereka terhadap kita membuatkan
kita merasa bahawa hidup kita dikongkong dan disekat! Kita merasa bahawa dalam
banyak hal kitalah yang benar, dan mereka hanyalah insan tua yang tidak tahu
apa! Seandainya inilah yang berlaku, bayangkanlah perasaan mereka yang dulu
pernah memanjai dan mendidik kita bagai menatang minyak yang penuh.
Wahai anak, sedarlah!
Insafilah..bahawa merekalah
insan yang paling layak untuk kita patuhi dan sayangi selepas taat kita kepada
Sang Khaliq. Kerana itulah, kita dapat lihat betapa Allah swt telah menyebut
berulang kali, bahawa selepas ketaatan kita dipersembahkan kepada Allah swt,maka
ayah dan ibulah yang keduanya.
Allah swt berfirman yang
mafhumnya:
(Dan hendaklah kamu beribadah
kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan DIA dengan sesuatu pun, dan hendaklah
kamu berbuat baik kepada ibu bapa) An Nisa:36
( Dan Tuhanmu telah
memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu
berbuat baik pada ibu bapa mu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di
antara keduanya atau kedua-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu,
maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan
"ah" dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka
perkataan yang mulia) Al Isra’: 23
Hadith peninggalan Rasulullah
saw juga banyak sekali menyebut tentang keutamaan untuk kita berbuat baik kepada
ayah dan ibu selepas ketaatan yang sepenuhnya kepada Allah dan RasulNya. Di
samping itu, Rasulullah saw juga ada mengingatkan tentang balasan buruk apabila
kita menderhaka dan menyakiti mereka.
Diriwayatkan dari Abu Hurairah
r.a, seorang lelaki menemui Rasulullah s.a.w dan bertanya:(Wahai Rasulullah,
Siapakah orang yang paling berhak aku hormati? Nabi s.a.w bersabda: “ Ibumu.”
Lelaki itu berkata lagi: “ Siapakah setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “
Ibumu.”
Lelaki itu bertanya lagi: “
Siapa lagi setelah ibuku?”. Nabi s.a.w bersabda: “
Ibumu.” Lelaki itu bertanya
lagi: “ Lalu siapa lagi sesudahnya?” Nabi s.a.w
menjawab: “ Ayahmu.”) HR
Bukhari
(Rasulullah saw bersabda,
Dosa-dosa besar: Syirik terhadap Allah, menderhaka kepada ibu bapa,membunuh
diri dan bersumpah dengan dusta) HR Bukhari
Hari ini kita dapat lihat, bagi
mereka yang mempunyai kekasih hati, mungkin ada perkara yang kita terlepas
pandang atau terlupa. Ada masanya, kita lebih mengutamakan untuk bertanya
khabar si kekasih, bertanya sakit peningnya, meminta pendapat, nasihat, doa dan
sebagainya. Sedangkan kita terlupa bahawa ayah dan ibulah yang lebih berhak ke
atas diri kita untuk mendahulukan mereka berbanding semua insan lain.
Ayuh, kita cakna semula
diantara adab-adab yang perlu kita jaga selaku seorang anak kepada ibu
bapa.Together towards anak soleh/solehah..!! (^_^)
1) Hendaklah kita memuliakan
mereka
2) Bersalaman dan mencium
tangan mereka sebagai tanda kasih dan hormat
3) Menjaga adab ketika bercakap
dengan mereka
4) Menyahut panggilan mereka
tanpa melengah-lengahkannya
5) Sentiasa berusaha
menggembirakan mereka
6) Menjaga harta mereka
7) Tidak mencaci dan
meninggikan suara terhadap mereka
8) Tidak mendahului mereka
dalam segala hal
9) Tidak duduk di tempat tinggi
daripada mereka
10) Sentiasa meminta izin dan
pandangan mereka mengenai sesuatu hal
11) Menghormati sahabat-sahabat
mereka
12) Tidak berlebih-lebih dalam
memuliakan isteri (khusus bagi yang bergelar suami)
13) Memperbanyakkan doa kepada
mereka
Wahai anak, rebutlah kesempatan
yang masih Allah berikan pada kita hari ini. Hargailah mereka, sayangi mereka
dan mohonlah ampun maaf atas segala salah silap kita selama ini. Semoga dengan
doa dan restu mereka, nescaya tergolonglah kita di dalam golongan insan yang
berbahagia dan berjaya bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat kelak.
Kerna sesungguhnya, redha Allah swt itu datangnya jua daripada redha ayah dan
ibu.
Abdullah bin Amru berkata,
Rasulullah SAW bersabda: Keredaan Allah kepada seseorang bergantung kepada
keredaan ibu bapanya. Dan kemurkaan Allah adalah bergantung kepada kemurkaan
ibu bapanya.” (Hadis al-Tirmizi).
‘Ya Allah,ampunilah dosaku dan
dosa kedua orang tuaku.. Rahmatilah mereka sepertimana mereka telah mengasihiku
sejak kecil..’ Amin..~
Comments
Post a Comment